Tuesday, 28 May 2013

Amalan Berpantang Di Kalangan Masyarakat Melayu - oleh Dr Zuradatol Akma bt Hj Din - Fakulti Pendidikan UKM

Sekadar gambar hiasan

PENGENALAN

Menanti detik kelahiran adalah sesuatu yang mendebarkan bagi ibu-ibu terutamanya bagi yang menyambut kelahiran pertama. Tempoh sembilan bulan dilalui dengan penuh harapan dan ketabahan. Kandungan diberi perhatian yang sewajarnya semoga cahaya mata yang bakal dilahirkan membawa sinar kebahagiaan.

Detik kelahiran yang tiba ditempuh dengan tabah. Tangisan pertama yang kedengaran bagaikan memberi semangat, apalagi apabila sicomel yang didakap buat pertama kalinya lena dalam pelukan. Terasa mengalir perasaan keibuan dan kasih sayang yang melimpah untuk si comel.

Selamat melahirkan, bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya. Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunuggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.

Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran. Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.

RAWATAN TRADISIONAL

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang. Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.

Misalnya cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka. Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.

Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita. Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.

Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu. Antara rawatan tersebut adalah bertungku, berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.

Tungku besi, bertungku juga boleh menggunakan batu sungai

BERTUNGKU

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.

Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.

Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.

Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.

Sekadar gambar hiasan

BERURUT

Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.

Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran. Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi.

Sekadar gambar hiasan

MANDI

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.

MANDI HERBA

Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang. Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba.

Kerusi tangas tradisional

BERTANGAS

Ia dilakukan selepas mandi. Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan proplase (keluar tombong). Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

MEMAKAI BENGKUNG

Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran. Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis. Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin

Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut.

BERTASAK

Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan. Ia hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga hari, bahan berlainan digunakan. Caranya, bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat, dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.

Pada hari pertama hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum. Pada hari keempat hingga keenam, gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan, bahannya adalah 5 cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.

MINUM AIR AKAR KAYU

Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.

Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.

Sup ikan haruan, antara menu berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang

MAKANAN BERKHASIAT UNTUK YANG BERPANTANG

Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.

Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu. Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang. Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara makannya, ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar. 

Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi di mana seseorang terasa sangat kenyang. Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Intitut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin. Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain.

KESIMPULAN

Memperolehi badan yang sihat seperti sedia kala adalah menjadi keinginan setiap ibu selepas selamat melahirkan. Cara terbaik adalah dengan mengamalkan pantang iaitu dari segi tingkah laku, makan dan minum serta mengamalkan rawatan-rawatan secara tradisional mengikut amalan warisan pusaka. Walaupun amalan ini belum dijalankan penyelidikan yang dapat membuktikan keesahannya namun bagi mereka yang merawat diri dalam pantang atau tidak dirawat memang ada bezanya dan dapat dirasakan oleh mereka sendiri semasa dalam tempoh berpantang atau selepas pantang. Tumbuhan yang dijadikan Allah melata di sekeliling kita banyak gunanya dan berkhasiat jika kita tahu cara mengadunnya.

RUJUKAN

Fauziah Hassan. 1999. Mengekalkan kulit halus mulus, ceria selepas bersalin. Saji, April : 62 - 63
Fauziah Hassan. 1999. Membelai badan merawat dalaman. Saji, April : 64 - 66.
Siti Hanim Yacub.1994. Pengalaman baru dalam pantang. Nona, Jun : 78 - 79
Zuarida Mohyin. 1999. Wanita mudah diserang angin berbanding lelaki ? Saji, April : 59 - 61.
Zunairah Radzi . 1999. Amalan berpantang masyarakat Melayu. Jelita, Mei : 94 - 99
Zurilawati Ku Zarifah. 1999. Petua ibu kembali segar. Jelita, Mei : 68 - 70

1 comment: